Pelawak Shahrol Shiro menjelaskan pelantikannya sebagai tenaga pengajar sambilan kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, susulan timbul persoalan dalam kalangan netizen mengenai latar belakang akademiknya.

Video di bawah:

https://www.instagram.com/reel/Dd1VOrPyQ4f/?stkn=MWF4emlrODNhMXZrOA==

Shahrol Shiro Jelaskan Lantikan Sebagai Pengajar UKM, Nafikan Ada Kait Dengan Politik

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 42, berkata pelantikan berkenaan berlaku hasil perbincangan bersama pihak UKM dan tercetus daripada idea untuk memperkenalkan kursus berkaitan seni komedi. Menerusi hantaran di Instagram semalam, Shahrol meminta orang ramai supaya tidak lagi membuat spekulasi mengenai pelantikannya itu.

“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik. Tiada kena mengena langsung dan juga saya sedar serta insaf saya ini hanyalah pemegang (graduan) diploma. Doakanlah semoga degree (Ijazah Sarjana Muda) saya habis tahun ini,” katanya.

Menurut Shahrol, idea berkenaan bermula selepas beliau bertemu Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Dr Norinsan Kamil Othman, pada tahun lalu.

Dalam pertemuan itu, Norinsan berkongsi mengenai pelbagai kursus Citra yang ditawarkan kepada pelajar UKM sebelum perbincangan berkenaan membawa kepada cadangan mewujudkan Citra Seni Komedi. Shahrol berkata, beliau melihat gabungan pengetahuan akademik daripada universiti dengan pengalaman penggiat industri seni di lapangan mampu memberi manfaat kepada mahasiswa.

“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri (seni) membawa pengalaman di lapangan. Apabila kedua-dua ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa. Terima kasih,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa UKM antara universiti terawal yang memberikan sokongan terhadap seni komedi, termasuk mempunyai kaitan dengan sejarah sitkom legenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Menurutnya, rakaman sitkom berkenaan pernah dijalankan di Panggung Eksperimen UKM, yang kini dikenali sebagai Panggung Seni UKM. Selepas perbincangan tersebut, Shahrol bersama beberapa pelawak tempatan kemudiannya dijemput menghadiri Malam Citra UKM.

Pada program itu, mereka diberi peluang membuat persembahan stand-up comedy yang mendapat sambutan luar biasa sebelum Shahrol akhirnya ditawarkan untuk menyertai UKM sebagai tenaga pengajar.

Dalam pada itu, Pusat Komunikasi Korporat UKM menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan kedudukan sebenar Shahrol di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).

Menurut UKM, Shahrol dilantik sebagai pengajar sambilan bagi kursus Citra Universiti untuk Kelas Seni Lakon yang memberi pengkhususan kepada stand-up comedy. UKM turut menjelaskan bahawa peranan Shahrol hanya melibatkan latihan amali dan praktikal dan tidak merangkumi pengajaran di dalam kuliah.

Pelantikan itu, menurut UKM, dibuat berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.

Kursus Citra UKM (Seni Lakon) pula merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar bagi memberikan pendedahan serta pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya asas lakonan dan persembahan.

UKM turut menjelaskan bahawa FPSC merupakan fakulti yang memberi fokus kepada pengajian transdisiplin, termasuk pengajian umum yang merangkumi kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.

Sebelum ini, Shahrol berkongsi berita mengenai pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra UKM menerusi akaun Instagramnya. Perkongsian itu kemudiannya menjadi perdebatan di media sosial apabila segelintir netizen mempersoalkan pelantikan berkenaan, khususnya berdasarkan latar belakang akademik Shahrol.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]