Suasana selepas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan seorang sahabat lamanya yang turut hadir memberikan penghormatan dan sokongan kepadanya.

Sahabat Sedarjah Berusia 101 Tahun Temui Dr Mahathir, Titip Pesanan Jangan Tinggal Solat

Sahabat berkenaan, Tan Sri Hanafiah Hussain, 101, merupakan rakan sedarjah Dr Mahathir. Dalam rakaman video yang dikongsikan di TikTok MSAFarisi, Hanafiah dilihat menghampiri Dr Mahathir di Masjid As Syarif sebelum mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un” dengan nada sebak. Beliau kemudian berjabat tangan dan mencium tangan Dr Mahathir, selain berpesan supaya sahabat lamanya itu tidak meninggalkan solat.

Pertemuan tersebut turut dikongsikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mustapa Mohamed, menerusi hantaran di media sosial. Menurut Mustapa, Hanafiah dikenali sebagai orang Melayu pertama yang bergelar Chartered Accountant.

Hanafiah merupakan pengasas firma Hanafiah, Raslan, Mohamad dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen serta Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra.

“Semoga Allah kurniakan Tan Sri kesihatan yang berpanjangan,” tulis Mustapa.

Kehadiran Hanafiah pada ketika Dr Mahathir sedang berdepan kehilangan isteri yang telah hidup bersamanya selama puluhan tahun turut memperlihatkan hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak zaman persekolahan. Kedua-duanya kini telah menjangkau usia lebih 100 tahun.

Kredit: TikTok awbhmf36, Facebook Mustapa Mohamed

[fbcomments]