Kes rabies manusia pertama di Kedah sejak 1998 dilaporkan selepas seorang lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia akibat jangkitan penyakit berkenaan susulan digigit anjing terbiar di Pasar Tani Kekal Changlun, Kubang Pasu, Ogos lalu.
Mangsa, Nik Muhamad Adha Nik Zulkifli, dikatakan berada di pasar berkenaan kerana singgah menghantar barang kepada isterinya yang berniaga di situ sebelum kejadian berlaku.
![]()
Digigit Anjing Ketika Beri Roti, Lelaki 31 Tahun Meninggal Dunia Akibat Rabies
Menurut seorang peniaga, Jamaliah Abdullah, ketika kejadian hujan renyai dan seekor anjing terbiar tiba-tiba memasuki kawasan pasar tani berkenaan. Beberapa peniaga kemudian dipercayai cuba menghalau anjing itu sebelum haiwan tersebut melarikan diri ke kawasan berhampiran. Melihat keadaan anjing berkenaan, mangsa yang dikenali sebagai seorang pencinta haiwan dikatakan berasa kasihan lalu membeli roti untuk diberikan kepadanya.
“Arwah ketika itu hendak kembali ke tempat kerja. Mungkin kerana kasihan melihat anjing itu, dia membeli roti dan memberikannya kepada haiwan berkenaan. Tidak lama kemudian, anjing itu menggigitnya di bahagian tangan. Arwah datang semula ke gerai isterinya dengan tangan berlumuran darah,” katanya.
Jamaliah berkata, selepas melihat tangan mangsa yang cedera dan berdarah, dia menasihatinya supaya segera mendapatkan rawatan di klinik. Katanya, dia amat terkesan dengan pemergian mangsa kerana mengenalinya sebagai seorang yang baik hati dan sememangnya menyayangi haiwan.
“Saya tidak sangka akhirnya dia meninggal dunia. Saya sangat sedih kerana arwah seorang yang baik dan memang sayang kepada haiwan,” katanya.
![]()
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga di pasar berkenaan, Halim Saidin, berkata dia tidak pernah melihat anjing berkeliaran di kawasan tersebut sepanjang 40 tahun menjalankan perniagaan di situ.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat rabies selepas mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.
Menurut JKN Kedah, mangsa ada mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas digigit, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies. Mangsa kemudian mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada bahagian lengan kanan pada 18 September.
Keadaannya menjadi semakin kritikal selepas empat hari apabila dia mula menunjukkan simptom klinikal rabies termasuk kesukaran menelan, takut kepada air atau hidrofobia, takut kepada angin atau aerofobia, selain mengalami kegelisahan dan perubahan tingkah laku.
Kes berkenaan mengejutkan ramai kerana ia merupakan kes rabies manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak 1998.
Kredit: Sinar Harian