Isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari IJN pada jam 10.48 pagi ke kediaman pasangan itu di The Mines, Seri Kembangan, Selangor. Perkara itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Dibawa Pulang Ke Kediaman

IJN setakat ini memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemergian Allahyarham. Dr Siti Hasmah yang genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu meninggalkan tujuh orang anak.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, Allahyarham merupakan antara generasi awal wanita Melayu yang menceburi bidang perubatan. Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya. Di situ, beliau bertemu Tun Dr Mahathir sebelum mereka berkahwin pada 1956.

Dr Siti Hasmah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perubatan kerajaan sebelum dilantik sebagai wanita pertama yang memegang jawatan pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak di Kedah pada 1965. Pada 1974, beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Negeri Kedah. Antara tanggungjawabnya ketika itu ialah melaksanakan program kesihatan untuk masyarakat luar bandar dengan tumpuan kepada penjagaan ibu dan kanak-kanak.

Allahyarham bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979 sebelum berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, Dr Siti Hasmah menjadi Wanita Pertama sepanjang dua tempoh pentadbiran suaminya, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020. Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh.

Selain bidang perubatan, Allahyarham turut aktif dalam pelbagai pertubuhan kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan serta terlibat dalam usaha berkaitan kebajikan wanita, kesihatan awam, pembangunan belia dan kesejahteraan keluarga. Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir dikurniakan tujuh cahaya mata. Allahyarham juga mempunyai bakat dalam bidang muzik dan merupakan pemain biola serta piano yang terus meminati muzik sepanjang hayatnya.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]