Hasrat sepasang suami isteri untuk menyaksikan anak perempuan mereka menerima ijazah pada istiadat konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak, sehari sebelum majlis tersebut berlangsung.

Bakal Graduan UMK Kehilangan Ibu Bapa Dalam Nahas Sehari Sebelum Konvokesyen

Mangsa, Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd Rahman, 58, meninggal dunia selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bersama seorang anak lelaki bertembung dengan sebuah bas persiaran. Anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, pula dilaporkan parah dalam kejadian itu.

Anak perempuan pasangan berkenaan, Husna Syakira Abd Halim, merupakan bakal graduan UMK yang dijadualkan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16 di Bachok, Kelantan, pada Selasa. Anak kelahiran Kedah itu mengikuti pengajian di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian.

Susulan tragedi tersebut, UMK menerusi kenyataan pada Isnin menyampaikan ucapan takziah kepada Husna Syakira dan seluruh keluarga. Pihak universiti turut menggerakkan pasukan daripada Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pegawai Psikologi ke Hospital Gerik sebaik menerima berita berkenaan.

Kehadiran pasukan itu bertujuan membantu keluarga menguruskan hal kebajikan dan dokumentasi, selain menyelaraskan keperluan mereka sepanjang berdepan situasi sukar tersebut. UMK turut menyediakan van jenazah bagi membawa pulang kedua-dua jenazah ke kediaman rasmi keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Abd Halim dan Siti Sara masih berada di Hospital Gerik untuk menjalani bedah siasat sebelum dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian. Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.40 petang Isnin itu membabitkan kenderaan keluarga berkenaan dan sebuah bas persiaran selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Kelantan untuk menghadiri konvokesyen Husna Syakira.

UMK memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus membantu keluarga mangsa dalam urusan kebajikan dan keperluan lain yang berkaitan. Universiti itu juga akan memberikan perhatian terhadap keadaan serta kesejahteraan Husna Syakira susulan kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam tragedi berkenaan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]