Baru dibebaskan dari penjara, seorang bapa kepada lima anak kembali berdepan hukuman penjara selepas mengaku bersalah mencuri barangan dapur bernilai RM394 dari sebuah pasar raya di Pasir Tumboh, Kelantan, pada bulan lalu.

Gambar Hiasan

Bapa Lima Anak Curi Barang Pasar Raya, Mahkamah Tolak Alasan Kesusahan Hidup

Wan Eskandar Wan Julihi, 43, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas melakukan kesalahan itu di pasar raya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu. Antara barangan yang dicurinya ialah 12 pek susu formula bayi, sembilan pek Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin.

Ketika prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad, memaklumkan bahawa tertuduh tidak bekerja dan mempunyai lima anak yang perlu ditanggung, selain membayar sewa rumah RM300 sebulan. Tertuduh turut menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan psoriasis serta memohon hukuman lebih ringan kerana menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, dalam alasan penghakiman bertarikh 1 November, Majistret R Vinoshen menegaskan bahawa kesusahan hidup dan tanggungjawab keluarga tidak boleh dijadikan alasan untuk mencuri. Mahkamah turut mengambil kira rekod terdahulu tertuduh yang pernah disabitkan atas kesalahan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Vinoshen turut memetik peribahasa Tamil daripada karya Tirukkural yang membawa maksud seseorang tidak seharusnya melakukan perbuatan tidak bermoral walaupun ibunya sendiri sedang kelaparan. Beliau mengingatkan bahawa mencuri barangan bernilai kecil sekalipun tetap merupakan kesalahan yang boleh dihukum penjara.

Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh sebagai faktor mitigasi kerana menjimatkan masa dan kos prosiding, namun ia tidak menjamin hukuman lebih ringan secara automatik. Selepas mempertimbangkan fakta kes dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, lebih ringan berbanding hukuman lazim antara satu hingga tiga tahun bagi kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]