Baru-baru ini tular sebuah video yang merakam detik sebuah jet peribadi terhempas di Florida, Amerika Syarikat (AS), sehingga mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.

Pesawat jenis Learjet 60 itu dilaporkan menjunam ke jalan raya sebelum meletup dan menyebabkan seorang lelaki yang berada di darat turut mengalami kecederaan pada kaki.

Video Jet Peribadi Terhempas Di Florida Tular, Sembilan Individu Termasuk Dua Kanak-Kanak Maut

Susulan kejadian itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang menyiasat kemungkinan pesawat berkenaan sudah berkecai ketika masih berada di udara sebelum menghentam permukaan bumi. Siasatan turut meneliti sama ada terdapat komponen pesawat yang tercabut, selain kemungkinan pembentukan ais dan pergolakan udara menjadi antara faktor penyumbang kepada nahas.

Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Austin, Texas menuju ke Bahamas sebelum terhempas di Military Trail, Palm Beach County, kira-kira 14 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Presiden AS, Donald Trump. Berdasarkan rakaman komunikasi, kru pesawat sempat memaklumkan kepada pengawal trafik udara bahawa mereka berdepan hujan, pembentukan ais serta pergolakan udara pada tahap sederhana, selain meminta kebenaran untuk naik ke ketinggian 37,000 kaki.

Bagaimanapun, kurang 30 saat selepas itu, pesawat mula kehilangan altitud sebelum kru mengeluarkan panggilan kecemasan mayday. Rakaman audio turut merekodkan kru memaklumkan pesawat berada dalam keadaan overspeed dan menjunam pada kadar kira-kira 20,000 kaki seminit. Mesej terakhir yang kedengaran dari kokpit, kira-kira 35 saat selepas panggilan kecemasan pertama, ialah “Kami sudah kehabisan masa.”

Kesemua sembilan individu di dalam pesawat disahkan terkorban. Tujuh mangsa dikenal pasti sebagai usahawan teknologi Adam Robinson, isterinya Helen Sharp, dua anak mereka Emma dan Charlie, selain Rachael Reed, Charmi Fehr serta Anita Maria Cetina. Media tempatan pula mengenal pasti juruterbang sebagai Jeffery Gregory, manakala pembantu juruterbang Nathalia Filgueiras dilaporkan baru berusia 20 tahun dan memperoleh lesen penerbangan ketika berusia 17 tahun.

Keadaan di lokasi kejadian turut menunjukkan kemusnahan serius apabila sebuah kawah besar terbentuk di tengah jalan raya, sementara serpihan pesawat ditemui di kawasan padang sukan, premis perniagaan dan rumah penduduk berhampiran. NTSB juga sedang mengenal pasti sama ada pesawat itu dilengkapi perakam suara kokpit (CVR) dan sama ada peranti berkenaan dapat ditemukan semula. Usaha mengeluarkan bangkai pesawat dari lokasi turut dijangka menjadi cabaran.

Siasatan kini diteruskan bersama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), wakil pengeluar Learjet, pakar meteorologi serta pakar kawalan trafik udara bagi menentukan punca sebenar nahas. NTSB menegaskan bahawa walaupun faktor cuaca dan keadaan penerbangan sedang diteliti, kesimpulan mengenai penyebab tragedi itu masih belum dapat dibuat.

Kredit: Sinar Harian, TikTok dailymailaustralia

 

[fbcomments]