Hasrat seorang wanita untuk membantu suaminya yang dipercayai terjatuh ke dalam kolam kumbahan ternakan babi berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Kawari, Papar, pada Khamis.

Pasangan Suami Isteri Maut Terjatuh Dalam Kolam Kumbahan, Ditemukan Berpelukan

Lebih menyayat hati, pasangan warga Indonesia berusia 52 dan 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan berpelukan di dalam kolam berkenaan. Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan dua mayat tersebut kira-kira jam 11.56 pagi.

Susulan laporan itu, anggota dari Balai Polis Papar bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu membawa keluar kedua-dua mangsa.

Menurut Heryan, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan bekerja di kawasan kandang ternakan tersebut. Lelaki terbabit dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan, manakala isterinya yang menyedari kejadian itu dipercayai cuba menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, usaha wanita berkenaan dipercayai tidak berhasil apabila dia turut terjatuh ke dalam kolam sama sehingga menyebabkan kedua-duanya maut. Heryan menjelaskan bahawa kronologi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan sedang diteliti pihak polis.

Kedua-dua mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR). Pemeriksaan awal di lokasi juga tidak menemukan sebarang tanda yang menunjukkan kejadian itu mempunyai unsur jenayah, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keadaan sebenar insiden tersebut.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]