Seorang guru di Sekolah Menengah Pertama (SMP) 1 STM Hiling, Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara, dikenali sebagai SW, kini berdepan tindakan undang-undang selepas seorang pelajar, Rindu Syahputra Sinaga, 14, meninggal dunia akibat hukuman fizikal yang dikenakan ke atasnya.
Murid Meninggal Dunia Akibat Didenda Squat Jump 100 Kali
Ketua Polis Daerah Deli Serdang, Raphael Sandy Cahya Priambodo, memaklumkan bahawa guru tersebut akan didakwa di bawah Pasal 80 Ayat 3 Undang-Undang Republik Indonesia No. 35 Tahun 2014, pindaan terhadap Undang-Undang No. 23 Tahun 2002 tentang Perlindungan Anak.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Insiden ini bermula pada 19 November, apabila mangsa bersama lima pelajar lain dihukum melakukan squat jump sebanyak 100 kali kerana gagal menghafal nama-nama nabi.
Selepas hukuman itu, Rindu mengadu sakit pada bahagian paha dan mengalami demam yang berlarutan sehingga keadaannya bertambah kritikal. Beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir di hospital pada 26 November.
Ibu mangsa, Yuliana, meluahkan rasa sedih atas kehilangan anaknya dan berharap keadilan dapat ditegakkan. Menurutnya, sebelum meninggal dunia, Rindu sempat menyuarakan harapan agar gurunya dikenakan hukuman yang setimpal.
“Anak saya semasa masih sakit berkata, ‘Mak, penjarakan guru itu. Jangan biarkan dia bebas,’” katanya.
Kredit: Sinar Harian