Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terhadap satu kes tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan sambil penumpang wanita di dalam kereta tersebut tidak memakai tali pinggang keledar dan berada dalam posisi menghadap pemandu.
![]()
JPJ Siasat Tindakan Berbahaya Dalam Kereta, Saman Bakal Dikeluarkan
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, tindakan tegas akan diambil terhadap kedua-dua individu terbabit iaitu pemandu dan penumpang selepas siasatan lengkap dijalankan.
Beliau berkata, pihak JPJ kini sedang meneliti kes berkenaan dan sebaik sahaja siasatan selesai, saman akan dikeluarkan kepada mereka yang terlibat.
Kejadian itu sebelum ini tular di platform Threads menerusi satu rakaman video yang memaparkan pasangan berkenaan berada dalam sebuah kereta yang sedang bergerak. Dalam video tersebut, wanita terbabit dilihat tidak memakai tali pinggang keledar serta melakukan aksi mesra bersama pemandu.
![]()
Lebih membimbangkan, wanita itu turut dirakam duduk dalam keadaan bersandar pada papan pemuka kenderaan ketika kereta sedang bergerak, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai terhadap aspek keselamatan jalan raya.
Tindakan tersebut menerima kecaman orang ramai yang menyifatkannya sebagai berbahaya serta boleh mengundang risiko kemalangan serius jika berlaku perkara tidak diingini.
Kredit: Harian Metro