Anak kepada seorang pendaki wanita yang masih hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, meluahkan rasa rindu serta harapan agar ibunya segera ditemukan dalam keadaan selamat selepas lebih seminggu kejadian kehilangan dilaporkan berlaku.

Anak Luah Rindu, Harap Ibu Hilang Di Gunung Batu Putih Ditemui Selamat

Menerusi perkongsian di platform Threads, anak kepada Jaslinda yang berusia 49 tahun itu memuat naik doa khas selain merayu agar pencarian dipermudahkan, dengan harapan ibunya dapat ditemui semula sejak dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu ketika menyertai ekspedisi pendakian.

“Ya Allah, lindungilah ibu kami, Jaslinda binti Saludin, walau di mana sahaja beliau berada. Kurniakanlah keselamatan, kekuatan, kesihatan, dan ketenangan kepadanya. Ya Allah permudahkanlah urusan semua anggota penyelamat dan mereka yang sedang berusaha mencarinya.

“Luaskanlah pandangan mereka, terangilah petunjuk buat mereka, dan dekatkanlah mereka kepada ibu kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar segala doa, Maha Mengetahui segala keadaan . Amin… We luv u (love you) (kami mencintai kamu) ibu,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, beliau turut memohon agar Allah SWT melindungi ibunya di mana sahaja berada serta memberi kekuatan kepada semua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang menjalankan operasi.

“Kami sekeluarga tidak pernah berhenti berdoa dan amat menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam pencarian ini. Semoga semua anggota SAR diberikan perlindungan dan dipermudahkan urusan,” katanya.

Luahan tersebut turut mengundang simpati ramai pengguna media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan kata-kata semangat agar Jaslinda segera ditemukan dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim memaklumkan operasi SAR akan diteruskan namun dalam skala lebih kecil, melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) kes orang hilang.

Untuk rekod, Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 pendaki lain serta dua malim gunung. Sebelum kejadian, beliau difahamkan mengalami kecederaan kaki dan sempat berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan serta seorang malim gunung.

Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dipercayai meneruskan pendakian seorang diri ke arah puncak sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Kredit: Threads deefzl._

[fbcomments]