Selepas tujuh tahun kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, keluarganya kini berkongsi pengalaman pahit yang pernah dilalui sepanjang tempoh pencarian individu itu.

Abang Acap Dedah Keluarga Pernah Jadi Mangsa Cubaan Pemerasan Ketika Usaha Pencarian

Perkara itu dikongsikan oleh abangnya, Denny Lang, menerusi satu hantaran di media sosial yang turut menjelaskan bahawa ketika tempoh pencarian aktif, keluarga mereka sering diajukan persoalan mengenai mengapa mereka tidak mendapatkan khidmat pihak tertentu termasuk individu yang mendakwa mempunyai keupayaan membantu pencarian.

Menurut Denny, pada ketika itu keluarga tidak mempunyai kepastian mengenai pihak yang benar-benar boleh membantu serta tidak mampu untuk menghubungi semua individu yang tampil menawarkan bantuan.

Dalam perkongsian sama, beliau mendakwa terdapat individu yang meletakkan bayaran tinggi untuk bantuan pencarian, termasuk sehingga RM18,000. Ada juga pihak yang didakwa mengambil kesempatan dengan mengenakan caj dalam pelbagai jumlah kepada keluarga.

Antara dakwaan lain, terdapat individu yang meminta keluarga mengadakan majlis kenduri di kawasan puncak bukit dengan kos sekitar RM6,000. Seorang lagi individu pula dikatakan mengenakan bayaran RM3,000 untuk proses “imbasan”, sebelum meminta tambahan RM13,000 bagi tujuan membawa pulang Acap.

Denny turut mendakwa terdapat pihak yang menetapkan caj perkhidmatan mengikut kadar yang ditentukan sendiri selepas dihubungi keluarga, tanpa sebarang struktur bayaran yang jelas.

“Ada banyak lagi perkara tidak bertanggungjawab yang berlaku ketika itu, namun kami memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pencarian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Polis Daerah (OCPD) Kampar ketika itu telah mengesan beberapa cubaan pemerasan berkenaan dan menghubunginya untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, selepas perbincangan bersama ahli keluarga serta mengambil kira keadaan ketika itu yang sangat mencabar, mereka memutuskan untuk tidak mendedahkan identiti individu terlibat atau membuat laporan lanjut kepada pihak berkuasa.

Untuk rekod, Mohammad Ashraf atau Acap masih gagal ditemui sehingga kini selepas dilaporkan hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac 2019 di kawasan hutan dan bukit sekitar Gopeng, Perak.

Kredit: Facebook Denny Lang

[fbcomments]