Pelakon jelita Lisa Surihani telah berhijab sedari empat tahun lalu. Lisa meluahkan perkara yang paling ditakuti ialah sekiranya dia mampu untuk terus kekal istiqamah.
Sebagai manusia biasa, Lisa Surihani mengaku pernah berdepan fasa ‘tergelincir’ namun terus bangkit dan cuba mempertahankan sesetengah prinsip.
“Kita ini manusia biasa, hati sangat rapuh. Walau apa jua keadaan sekali pun, saya cuba pertahankan sesetengah prinsip.
“Ya. Ini satu pengorbanan yang berat terutama sekali untuk terus kekal istiqamah. Tapi saya harus mencuba sebaiknya, ada waktunya tersungkur tetapi perlahan-lahan saya bangkit supaya tidak berputus asa dalam perjalanan ini,” katanya.
Tawaran lakonan semakin kurang
Lisa juga tidak menafikan sejak mengenakan hijab, tawaran lakonannya semakin kurang.
Kata Lisa, dia juga bersyukur apabila suaminya yang juga pengarah terkenal, Datuk Yusry Halim tidak pernah menghalang sekiranya dia ingin terus berlakon.
“Tahun lalu memang ada tawaran tetapi dianjakkan ke tahun ini, tapi sampai saat ini belum ada sebarang ‘update’.
“Memang sejak tampil berhijab, secara semula jadi tawaran lakonan juga menjadi berkurangan. Mungkin sudah tertulis begitu tetapi saya tidak terlalu kisahkan sangat.
Menjenguk peluang pengacaraan

“Pada peringkat sekarang, minat saya lebih berat ke arah pengacaraan dan saya ingin belajar untuk perbaiki lagi diri dalam bidang itu.
“Bagi kerjaya lakonan pula, sekiranya ada tawaran menarik yang boleh membantu perjalanan kerohanian saya, insya Allah saya pertimbangkan,” katanya.
Kata Lisa, dia mengaku kini lebih gemar mengintai peluang dalam dunia pengacaraan.
Sumber: Harian Metro