Ekoran kontroversi yang dicetuskan antara penyanyi rap Caprice dan Ustaz Ebit Lew berhubung misi bantuan ke Gaza, akhirnya Caprice memohon maaf secara terbuka di akaun Instagramnya sebentar tadi.
Permohonan maaf itu dikemukakan beliau kepada Ebit Lew yang menjadi tumpuannya dalam pendedahan kononnya kehadiran pendakwah dan dermawan itu di Gaza, Palestin tidak disenangi.

Dalam masa yang sama, dia juga turut memohon maaf kepada pembesar, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia di atas segala kesilapannnya kerana terlalu beremosi dalam usaha menjalankan misi bantuan ke Gaza. Dia juga turut mengakui semuanya berpunca daripada kesilapannya sendiri dan tidak berkait dengan pihak lain.
Salam Tunku Mahkota Johor, Hishammuddin dan Ebit Lew, Caprice mohon minta maaf atas kesilapan Caprice di mana kita terlalu emosi tentang pejuang kita demi ummah, demi Palestin dan demi Rakyat Malaysia.
Apa yang berlaku adalah kesilapan Caprice sendiri dan tidak terlibat pihak lain. Caprice nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin, Kedutaan Malaysia-Mesir dan Kerajaan Mesir atas layanan baik, sokongan dan perlindungan 24 jam sepanjang Caprice di Mesir.
Dalam masa yang sama dia juga turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang bertindak seperti seorang ‘bapa’ yang mengambil berat mengenai dirinya sepanjang berada di Mesir.