Usahawan dan jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa, menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada pelakon Amyza Aznan bagi membantu meringankan kos rawatan anak keduanya, Adrian Adam, yang kini sedang menjalani rawatan akibat kanser tulang.

Penyerahan sumbangan tersebut dikongsikan Alha menerusi platform Threads miliknya bersama beberapa gambar yang menunjukkan beliau menyampaikan sampul berwarna putih kepada keluarga pelakon berkenaan.

Alha Alfa Hulur Sumbangan Tunai Untuk Rawatan Kanser Adrian Adam

Menurut Alha, dana berkenaan diperoleh hasil kutipan jualan set produk khas yang dilancarkan beberapa hari lalu melalui jenama Alha Alfa Cosmetics. Katanya, pembelian daripada para pelanggan digunakan sepenuhnya bagi membantu menampung perbelanjaan perubatan Adrian.

“Salam semua pengguna2 @alhaalfacosmetics_hq yang support pembelian set untuk kita bantu kos rawatan anak kedua kak @amyzaaznankaaia, iaitu ADRIAN ADAM, saya dah pun sampaikan amanah ini. Semoga dipermudahkan urusan kak amyza dan anak2, kami sentiasa doakan,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mendoakan agar segala urusan Amyza dan anak-anak dipermudahkan serta berharap Adrian diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.

Sebelum ini, Alha mengambil inisiatif menggerakkan usaha pengumpulan dana sebagai tanda sokongan terhadap keluarga pelakon tersebut.

Kredit: Threads alhaalfa

[fbcomments]