Usahawan terkenal dan pengasas jenama Kieda Crepe, Siti Nur Khalieda Yusra atau lebih dikenali sebagai Kieda, berdepan cabaran besar menjelang pelancaran Big Tour miliknya apabila dua akaun TikTok rasminya disekat secara serentak pada Khamis.
Dua Akaun TikTok Kieda Crepe Kena Sekat, Netizen Dakwa Akibat Isu Bertemu Pelanggan
Kieda memaklumkan bahawa sekatan tersebut berlaku sejak malam sebelumnya. Apa yang lebih mengejutkan, menurutnya, salah satu akaun yang disekat itu tidak membuat sebarang siaran langsung, sekali gus menimbulkan tanda tanya.
“16 hari lagi nak keluar Big Tour, Allah bagi ujian hebat. Dua akaun serentak kena banned, walhal lagi satu akaun tak buat siaran langsung pun. Semoga ada rezeki dapat balik. Tolong doakan semua,” tulisnya.
Insiden tersebut menarik perhatian ramai di media sosial, lebih-lebih lagi memandangkan TikTok merupakan antara platform utama yang digunakan Kieda dalam mempromosikan produknya serta menjalin hubungan secara langsung dengan pelanggan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar urusan usahawan tersebut dipermudahkan. Namun tidak kurang juga yang mengaitkan kejadian itu dengan isu tular yang melibatkan Kieda baru-baru ini.
Sebelum ini, seorang pelanggan berkongsi ulasan jujur mengenai produk ‘crepe’ keluaran syarikat Kieda yang didakwa tidak sedap dan tidak berbaloi dengan harga. Ulasan tersebut menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Tidak lama kemudian, Kieda dilaporkan bertemu sendiri dengan wanita berkenaan dan menyatakan rasa kesalnya terhadap kesan yang timbul akibat kenyataan itu terhadap perniagaannya. Dalam usaha menyelesaikan isu tersebut secara langsung, beliau juga dilaporkan telah memulangkan wang pembelian kepada pelanggan tersebut.
Namun tindakan Kieda bertemu pengulas terbabit menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang menyifatkan pendekatan itu kurang sesuai dan memberi mesej negatif terhadap budaya memberi maklum balas pelanggan, manakala ada juga yang mempertahankan tindakan Kieda sebagai satu usaha mempertahankan jenama yang dibina dari bawah.
Susulan pertemuan itu, segelintir pengguna media sosial mendakwa mereka telah membuat laporan terhadap akaun TikTok Kieda, dipercayai menjadi salah satu punca sekatan dikenakan oleh pihak platform.
Kredit: FB Khalieda Yusra