Seorang anggota polis berdepan detik mencemaskan apabila mengalami kecederaan serius pada bahagian telinga selepas digigit oleh seorang lelaki warga Afrika dalam satu insiden di sebuah klinik swasta di kawasan Metro Prima, Kepong pada pagi Jumaat.
Anggota Polis Cedera Parah Akibat Digigit Warga Asing Ketika Cuba Menenangkan Suspek Mengamuk
Kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika mangsa, yang berpangkat koperal, bersama seorang lagi anggota sedang menjalankan tugas selepas menerima laporan mengenai seorang individu warga asing yang bertindak agresif di premis tersebut.
Menurut sumber, ketika pihak polis tiba di lokasi, lelaki terbabit pada awalnya kelihatan tenang dan memberikan kerjasama. Namun, situasi bertukar tegang apabila dia secara tiba-tiba bertindak ganas ketika hendak dibawa masuk ke dalam kenderaan peronda. Dalam pergelutan itu, suspek dikatakan telah menggigit telinga kiri anggota berkenaan sehingga terputus.
Akibat kejadian tersebut, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an mengalami pendarahan yang banyak dan segera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan. Difahamkan, beliau kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan bagi menyambung semula bahagian telinga yang tercedera.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun itu merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta di ibu negara. Lelaki berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zopal mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Kredit: Sinar Harian