Penyanyi popular Anuar Zain, 53 mengakui dia berasa seronok dan tenang apabila menyertai aktiviti bersama jemaah tabligh sejak dua tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Anuar berkata dia masih menyertai aktiviti tersebut pada waktu lapang. Malah, kali terakhir dia membabitkan diri dalam aktiviti dakwah tersebut adalah beberapa bulan lalu.
“Saya masih lagi mengikut jemaah (tabligh), tapi sekiranya ada kelapangan masa. Seronok dan tenang kalau dapat sertai aktiviti keagamaan yang dilakukan bersama-sama,” katanya.
Anuar menyatakan hasrat untuk menyertai aktiviti itu lagi jika tidak terikat dengan kerjaya sebagai anak seni.
“Saya tak boleh ikut selalu sebab kerja hakiki sebagai artis, cari makan dalam karier seni sebagai penyanyi. Jadi, saya kena tengok masa yang terluang juga,” ujarnya.
Bertanya tentang bulan Ramadhan yang menghampiri, penyanyi itu berkata dia ingin merjakan solat terawih di beberapa masjid berasingan sepanjang Ramadan ini.
Pelantun lagu Seditik Lebih itu berkata, mengimarahkan masjid adalah satu satu aktiviti menyeronokkan selain ingin mengajak kenalan rapat yang berminat untuk turut serta.
“Seronok sebenarnya kalau dapat menunaikan solat terawih di masjid-masjid berasingan. Tidaklah hanya berterawih di masjid yang sama saja.
“Sayanglah kalau kita tak buat solat terawih penuh. Jadi, saya tak mahu lepaskan peluang ini macam tu saja. Malah, satu pengalaman baru juga kalau dapat berterawih di masjid-masjid berbeza,” kongsinya.
Sumber: Harian Metro, Instagram Anuar Zain