Seorang atlet berbasikal Jepun iaitu Shinji Nakano baru-baru ini dilihat tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia setelah insiden di final acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris yang mengakibatkan pelumba negara, Shah Firdaus, terlepas peluang meraih pingat.
Atlet Japan Minta Maaf, Mohon Jangan Libatkan Keluarga
Menerusi sebuah hantaran yang dikongsi di platform TikTok, Shinji dengan penuh penyesalan menyatakan bahawa insiden tersebut mungkin berpunca daripada kesilapannya sendiri. Dia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas apa yang berlaku.
Dalam hantaran tersebut, Shinji turut berkongsi gambar dirinya memegang bendera Jepun, dengan kapsyen memohon maaf kerana terlibat dalam perlanggaran yang menyebabkan Shah Firdaus terjatuh.
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan saya,”tulisnya.
Selain itu, Shinji juga merayu agar netizen tidak mengaitkan keluarganya dengan kejadian tersebut, menekankan bahawa dia seorang sahaja yang bertanggungjawab.
“Tolonglah Jangan sebut nama keluarga. Saya sepatutnya bertanggungjawab jangan libatkan keluarga saya,” rayunya.
Walaupun permohonan maaf tersebut mendapat perhatian dari netizen Malaysia, ramai yang tetap meninggalkan komen di ruangan posting berkenaan. Meskipun ada yang menunjukkan sikap memaafkan, namun masih terdapat segelintir yang terus meluahkan rasa marah terhadap Shinji akibat insiden di velodrom Paris itu.
Difahamkan insiden tersebut berlaku ketika Shah Firdaus berpeluang meraih pingat gangsa, namun harapan tersebut musnah setelah dia terlibat dalam kemalangan bersama wakil Jepun di pusingan akhir acara keirin lelaki. Kejadian itu telah menyebabkan laman media sosial Shinji diserang oleh netizen Malaysia, yang meluahkan kemarahan mereka dalam bentuk komen negatif.
Mengambil kira situasi yang tegang, Shah Firdaus sendiri telah tampil meminta orang ramai supaya berhenti meninggalkan komen berunsur negatif di media sosial Shinji, kerana tindakan sedemikian boleh mencemarkan imej dan nama baik Malaysia di persada antarabangsa.
Kredit: TikTok Shinji Nakano