Di Indonesia, kisah seorang wanita berstatus janda mendapat perhatian ramai selepas dia mengiklankan penjualan rumah. Lebih menarik apabila dia memaklumkan akan mengahwini jejaka yang membeli rumah berkenaan.
Hampir setahun pegang status janda
Menerusi laporan yang dipetik Tribunnews, wanita yang dikenali dengan Metha Kanzul bercadang menjual rumahnya yang terletak di daerah Mesu, Bangka Belintung dengan harga 185 juta rupiah atau bersamaan kira-kira RM54, 075.
Metha mengiklankan jualan rumah itu menerusi akaun Facebook miliknya dengan memuatnaik gambar rumah serta gambar dirinya bersama anak kecil dengan kapsyen ‘Dijual Rumah+Tanah Siap Huni+Isteri Jika Jodoh’. Namun, beberapa jam kemudian, perkongsian tersebut telah viral di media sosial.
Benar, saya mahu jual rumah. Tapi terfikir untuk menjualnya dengan cara yang berbeza dan terfikir untuk berbuat sedemikian. Jika ada pembeli dan jodoh, saya sedia bernikah dengannya. Jika rumah itu terjual, saya akan berpindah ke rumah keluarga kerana selama ini ibu yang tinggal di sana.
Tambah Metha lagi, dia juga kini memang sedang mencari pendamping hidup setelah hampir setahun memegang status janda.
Difahamkan, Metha yang merupakan ibu kepada seorang anak ini pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini. Kini, ibu tunggal ini hanya tinggal berdua bersama anak lelakinya yang berusia 4 tahun.
Metha mengakui sejak perkongsian itu viral, dia telah menerima banyak mesej yang rata-ratanya menawarkan diri untuk menjadi suaminya.