Seorang wanita sanggup berkongsi barang dapur bersama 70 keluarga buruh warga asing selepas simpati dengan nasib dihadapi mereka yang terputus bekalan makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ibu kepada lima anak, Nooralina Ahmad, 35, berkata dia mengetahui keadaan itu selepas suaminya yang juga warga Pakistan dihubungi salah seorang buruh terbabit meminta bantuan makanan.

Memikirkan nasib warga asing yang kelaparan

Nooralina yang mengusahakan ‘lunch box’ @dapormom berkata, dia tidak dapat tidur memikirkan nasib warga asing itu khususnya anak yang kelaparan sejak minggu lalu.

“Pada mulanya saya mahu memasak dan menghantar makanan kepadanya tetapi selepas diberitahu ramai lagi keluarga warga asing yang kelaparan, saya dan suami ambil keputusan beli barang keperluan asas untuk dihantar kepada mereka.

Anak merintih kelaparan

“Apabila PKP berlangsung ramai warga asing itu tidak mempunyai wang kerana bergaji hari atau mingguan. Ada di antara mereka sanggup tidur atau berpuasa tetapi anak mereka tetap merintih kelaparan.

“Mereka tidak tahu di mana untuk minta bantuan, jika ada pun hanya untuk rakyat tempatan. Jadi jalan terakhir mereka menghubungi orang tempatan dikenali untuk minta bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terpaksa berkongsi barang dapur

Menurut Nooralina, pada peringkat awal dia tidak mempunyai wang untuk membantu dan terpaksa berkongsi barang dapur sendiri dengan warga asing itu.

“Suami saya juga tidak bekerja kerana PKP tetapi memikirkan kami sekeluarga masih ada makanan, saya tetap berusaha membantu.

“Saya bersyukur apabila ada rakan yang turut mahu membantu walaupun orang yang dibantu adalah warga asing. Saya beli barang keperluan asas seperti beras dan telur sebelum dihantar kepada mereka,” katanya.

Percaya bantuan diberi, dibalas dengan rezeki lain

Nooralina berkata, dia juga mempunyai masalah kesempitan wang tetapi percaya setiap bantuan dihulur akan dibalas dengan rezeki lain suatu hari nanti.

“Kalau ikutkan saya sendiri tidak cukup wang tetapi sekurang-kurangnya kami masih lagi mampu makan sedang orang lain sudah berhari-hari kelaparan.”

[fbcomments]