Lagu Terus Hidup karya dan nyanyian Aina Abdul telah diumumkan sebagai Juara menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang berlansung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Ahad.
Aina berjaya merangkul tempat juara dan memenangi vokal terbaik, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM112,000 dan dua trofi.
Penyanyi itu memaklumkan dia sudah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM 90,000 untuk persembahannya yang bertemakan awan dan serba putih di AJL 37 malam tadi. Perbelanjaan tersebut termasuklah persalinan, props awan dan sebagainya seperti mana yang dapat dilihat oleh penonton.
“Betul saya telah berhabis banyak kerana saya dapat rasakan lagu Terus Hidup ini merupakan suatu yang istimewa dalam hidup saya. Pada ketika ini, dalam kerjaya, saya mahukan sesuatu yang berbaloi. Jadi saya tahu perlu ada sedikit pelaburan.”
“Pada malam ini saja saya telah membawa seramai 30 orang team yang menguruskan segala aspek. Semangat merekalah yang saya bawa ke atas pentas. Syukur saya ada rezeki untuk berbelanja dan tiada masalah untuk invest kali ini.”
Pelaburan itu ternyata membuahkan hasil apabila Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berjaya menggondol gelaran juara AJL37 dan menang kategori Vokal Terbaik pada malam itu.
Tema awan sebagai simbolik..
Penyanyi itu juga berkongsi sebab dia memilih tema awan tersebut iaitu buat bapanya yang telah meninggal dunia.
“Saya memutuskan untuk memilih tema awan selepas pulang dari bercuti. Ketika itu, sepanjang berada dalam kapal terbang, saya dapat melihat kepulan awan yang bergelora ada juga dalam keadaan tenang.“
“Di kesempatan itu saya berpeluang untuk berfikir panjang. Tetapi, saya juga mendedikasikan persembahan Terus Hidup ini kepada arwah ayah saya, Abdul Ghani Abdullah.
“Awan yang tertera di atas pentas itu merupakan simbolik kepada orang yang sudah tiada, yang tidak dapat dikawal oleh seorang manusia biasa,” ujarnya lagi.
Sekadar info, naib juara AJL37 membawa pulang trofi dan wang tunai RM 50,000 dan dimenangi oleh Joe Flizzow dan Sonaone yang mendendangkan lagu Satu Malam Di Temasek yang dicipta oleh mereka berdua.
Menduduki tempat ketiga ialah Alif Satar dengan lagu Anugerah Terindah ciptaan beliau bersama Shah Shamshiri dan Romeo bersama komposer, Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam & Acap Salim, membawa pulang trofi dan RM30,000.