Wang tunai berjumlah RM52,000 hangus selepas rumah sewa seorang peniaga terbakar dalam kejadian di Kampung Parit 10 Timur, Sungai Besar, Sabtu lepas.
Dalam kejadian 3.30 petang itu, rumah itu hangus termasuk tiga kenderaan iaitu van, Proton Iswara dan motosikal Kawasaki.
Pembekal barangan dan peralatan sekolah, Khatib Yusop, 38, berkata, ketika kejadian, dia sedang minum di kedai makan berhampiran sebelum menerima panggilan daripada jiran, memaklumkan kebakaran itu.
“Jiran memaklumkan, ketika kejadian dia terdengar bunyi kaca meletup. Dia kemudian ternampak kepulan asap keluar dari bahagian dapur rumah sewa saya.”
Khatib berkata, dia yang bergegas pulang mendapati api marak memusnahkan rumah menyebabkan dia gagal menyelamatkan barangan termasuk wang simpanan serta modal pusingan perniagaannya.
“Daripada jumlah RM52,000 itu, RM40,000 adalah wang simpanan yang saya kumpul sejak lapan tahun lalu manakala RM12,000 ialah modal pusingan perniagaan.”
“Siapa yang tidak sedih duit yang dikumpul selama ini hangus sekelip mata. Kebetulan, saya ada rancang beberapa perkara untuk menggunakan wang simpanan itu pada masa akan datang,” katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM200,000 tidak termasuk wang tunai itu.