Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium pada Selasa.
![]()
Kanak-Kanak Maut Terjatuh dari Tingkat 29 Kondominium di Puchong
Insiden tragis itu berlaku ketika mangsa berada di kediaman pengasuhnya sebelum dipercayai terjatuh dari tingkap yang tidak dilengkapi jeriji keselamatan. Mangsa dikatakan terjatuh ke atas lantai di tingkat lima bangunan tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar, pihak polis menerima maklumat kejadian pada jam 12.30 tengah hari.
“Anggota polis yang melakukan rondaan segera ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai tingkat lima,” katanya.
![]()
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada dalam jagaan pengasuh. Difahamkan, pada waktu kejadian ibu mangsa berada di rumah menjaga seorang lagi anak yang sedang menjalani kuarantin, manakala bapanya berada di tempat kerja.
Sumber turut memaklumkan terdapat sebuah kerusi diletakkan berhampiran tingkap dan mangsa disyaki memanjat untuk melihat ke luar sebelum terjatuh.
Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pihak polis turut memanggil pengasuh berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Kredit: Sinar Harian