Bapa Dedah Anak Trauma Selepas Ibu Mati Gantung, Adik Dijumpai Tidak Bernyawa
Menurut bapanya yang berusia lingkungan 30-an, anak sulung itu masih sering bertanya mengenai adiknya dan hanya mampu ditenangkan dengan menunjukkan gambar kanak-kanak perempuan berusia empat tahun tersebut.
Mangsa kini berada sepenuhnya di bawah jagaan bapa dan diberi cuti persekolahan sementara bagi memulihkan kestabilan emosinya. Lelaki itu memaklumkan, sejak mereka bercerai tiga tahun lalu, kedua-dua anak dijaga pengasuh sepenuh masa kerana dia dan bekas isteri bekerja. Pada hari kejadian, kanak-kanak itu dibawa bekas isterinya dan beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dihubungi keluarga wanita berkenaan.
“Bekas isteri kerja kilang. Setiap hari saya ambil anak sulung dari sekolah, hantar ke rumah pengasuh. Hari kejadian, dia ambil kedua-duanya, dan saya hanya tahu selepas keluarga hubungi,” katanya.
![]()
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, wanita berusia 30 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada kipas siling, manakala anak perempuannya ditemukan tidak bernyawa di atas tilam. Polis percaya kanak-kanak tersebut dibunuh terlebih dahulu sebelum wanita berkenaan mengambil nyawanya sendiri. Anak lelaki mereka terselamat apabila kain yang diikat pada lehernya terlucut sebelum berjaya melarikan diri mendapatkan bantuan jiran.
Seorang penduduk memaklumkan kejadian disedari selepas jiran melihat kelibat wanita itu dalam keadaan tergantung melalui tingkap rumah. Kanak-kanak lelaki itu kemudian muncul membawa kunci dan menyerahkannya kepada jiran sebelum pihak polis tiba.
“Budak tu tak menangis. Kami tanya mana adik, dia cakap adik tidur, tapi dia dah cuba kejut, tak bangun,” ujarnya.
![]()
Menurut penduduk, wanita tersebut baru dua bulan mendiami kawasan itu dan jarang bergaul kerana sibuk bekerja. Beberapa hari sebelum kejadian, dia didengar bertengkar dengan seseorang namun penduduk tidak menyangka ia berkait dengan insiden itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan setakat ini, seramai 15 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan. Media turut melaporkan wanita berkenaan dipercayai mengalami tekanan emosi selepas kecewa dengan teman lelaki yang didakwa menjalin hubungan dengan wanita lain.
Kredit: Berita Harian