Kasih hingga hujung nyawa. Mungkin itulah ungkapan yang boleh dikatakan terhadap pasangan berusia ini apabila kasih seorang lelaki terhadap isterinya dibawa sampai hujung nyawa dimana dia turut meninggal dunia 15 jam selepas wanita penyeri hidupnya berjumpa Yang Maha Esa.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi kisah cinta hingga hujung nyawa antara arwah datuk dan neneknya. Apa yang menariknya, kedua-dua mereka berkongsi tarikh lahir dan tarikh meninggal dunia yang sama.
Allahyarham Wan Yahya meninggal dunia pada usia 86 tahun manakala isterinya, Allahyarham Wan Zainoon meninggal dunia pada usia 83 tahun.
Indah sungguh aturan Allah. Cinta hingga hujung nyawa. Sentiasa bersama hingga meninggal dunia.
Tak sanggup tinggal suami keseorangan
Kongsi Atin, neneknya tetap ingin menjaga datuk yang terlantar biarpun dirinya sendiri kurang sihat. Beliau tetap menjaga suaminya yang terlantar tanpa mengira masa. Namun ujian buat mereka, neneknya disahkan mempunyai kanser usus dan ditahan di wad diikuti datuk yang demam panas.

Atuk sempat minta pelukan dari semua
Tambah Atin, arwah atuknya sempat meminta pelukan daripada semua sebelum meninggal dunia.
“Arwah atuk pun sehari sebelum meninggal, dia minta pelukan dari semua sambil menangis. Dia macam dah tahu nenek saya kritikal sebelum jumpa nenek sendiri kat hospital tu.”
Sentiasa solat jemaah

Ketika ditanya bagaimana mereka mengekalkan hubungan bahagia hingga hujung nyawa, kongsi Atin, pasangan itu sentiasa menunaikan solat jemaah di masjid. Di samping itu, mereka sentiasa makan bersama dan menjaga antara satu sama lain.
Mereka sentiasa bersama-sama solat jemaah di masjid setiap hari. Hingga atuk saya sakit saraf, tak boleh gerak kaki.
Yang saya tahu, mereka tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid sehingga mereka uzur. Selalu menjaga satu sama lain, tak ada mengeluh, sentiasa bersama ke mana sahaja.
Mereka selalu makan bersama, tak pernah makan kat kedai. Selalunya nenek akan masak.
Atin juga sempat berkongsi beberapa gambar arwah atuk dan neneknya ketika masih sihat. Sungguh manis kedua-duanya.
