fbpx

Perdana Menteri merayu rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang dilihat semakin mengganas sekarang ini.

Jelas beliau lagi, usaha ini tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat terutamanya pergerakan balik kampung berterusan.

Haram hukumnya jika balik ke kampung

Perbuatan orang ramai yang pulang ke kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan boleh menjadi haram dari segi agama jika mendatangkan mudarat kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata perbuatan itu boleh jatuh haram kerana ia jelas bertentangan dengan arahan daripada kerajaan dan pihak berkuasa yang menuntut orang ramai supaya berada di rumah sepanjang tempoh berkenaan.

“Tindakan pulang ke kampung itu boleh memudaratkan orang lain… kita tak tahu apabila kita dijangkiti dan menyebarkan kepada orang lain di kampung.

“Sebelum ini pun, mufti tidak mewajibkan solat Jumaat kerana khuatir ia mendatangkan mudarat kepada orang lain, konsepnya sama sahaja jika kita pulang ke kampung kerana ia turut membuka ruang ke arah itu. ”

Bagaimanapun, orang awam khususnya di bandar raya ini mengambil kesempatan pelaksanaan perintah kawalan itu dengan pulang ke kampung sejak malam kelmarin sehingga menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

Pekerja yang bekerja dari rumah juga perlu jaga amanah

Beliau turut menasihati kepada pekerja yang diminta untuk bertugas dari rumah supaya menjaga amanah itu dengan sebaiknya termasuk menyelesaikan tanggungjawab seperti hari biasa bekerja.

Katanya, di luar waktu bekerja pula, tempoh masa berada di rumah boleh dilakukan sebaiknya untuk beribadat dan kembali bermunajat kepada Allah bagi memohon perlindunganNya.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya

Beliau sempat menasihati orang ramai supaya rebut peluang ini untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

“Kita kena faham segala yang berlaku ini ada hikmahnya dan paling penting untuk sentiasa berfikiran positif kerana sebagai umat Islam ada beberapa perkara yang boleh diambil perhatian seperti mendekatkan diri kepada Allah.

“Kita tidak nafikan, sebagai seorang yang sentiasa sibuk dengan urusan pekerjaan, kena duduk di rumah untuk tempoh panjang adalah sesuatu yang sukar namun kita harus melihat perkara itu dari aspek positif dan hasilnya juga akan positif nanti. ”

[fbcomments]