Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan telah mencapai 90 peratus pada pagi 2 Mei 2021.
COVID-19 : RAWATAN DI ICU SEKITAR LEMBAH KLANG TELAH MELEBIHI AMBANG AMARAN
Sebanyak enam buah hospital yang mempunyai…
Posted by Wacana.my on Saturday, May 1, 2021
Telah melebihi ambang amaran
Sebanyak enam (6) buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold) kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100%.

Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.
KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.
Prosedur elektif di hospital ditangguhkan demi Covid19
Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.

Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19. KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.
Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui. Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini.
Berada tahap kritikan
Sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Justeru, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini.