Seorang lelaki berusia 54 tahun yang didakwa ‘lari’ dari Klinik Kesihatan Bukit Naga di Seksyen 32 di sini pada Khamis selepas disyaki dijangkiti COVID-19 telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai lelaki berkenaan daripada pihak klinik kesihatan itu menyebabkan usaha mengesannya dilakukan.
Lelaki yang dipercayai menyertai program Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini bertindak sedemikian disebabkan proses mendapatkan rawatan agak lambat.
“Pada pandangan saya, lelaki itu bukan melarikan diri. Mungkin dia bosan menunggu sementara menerima rawatan di klinik kesihatan menyebabkan dia balik ke rumah dahulu. Namun kami telah menghubunginya melalui telefon bagi memujuknya kembali ke klinik untuk menerima rawatan.
“Lelaki itu kemudiannya datang sendiri ke klinik itu dan ambulans terus menghantarnya ke hospital untuk rawatan sewajarnya.”