fbpx

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pusat pungutan zakat setiap negeri memainkan peranan lebih proaktif membantu golongan asnaf berdepan kehidupan lebih sukar sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri juga meminta semua organisasi kebajikan negara ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, tanpa mengira bangsa dan agama, sepanjang tempoh sukar ini.

Beliau berkata, pusat pungutan zakat diminta memberikan bantuan kepada golongan berkenaan walaupun sebelum ini mereka tidak tersenarai sebagai asnaf.

Namun, katanya, dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, saya mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

“Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

“Organisasi kebajikan juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Muhyiddin berkata, kesukaran yang dihadapi golongan ini juga tidak pernah berlaku sebelum ini dan beliau percaya semua organisasi terbabit boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

[fbcomments]