Seorang lelaki dilaporkan cedera parah selepas cuba untuk menahan perompak yang menunggang motosikal di hadapan sebuah restoran sushi yang terletak di Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Mangsa Masih Tidak Sedarkan Diri Selepas Kejadian
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh adiknya @Eric Kit di laman Facebook, difahamkan mangsa kini masih lagi dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas hari kejadian.
“Rompakan pada waktu tengah hari. Abang saya masih koma angkara pelanggaran ini.” katanya.
Dalam video tersebut, kelihatan mangsa sedang mencuba untuk menahan motosikal terbabit dengan berpaut pada belakang tempat duduk motosikal yang sedang ditunggang laju itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun.
Katanya, ketika kejadian wanita tersebut bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima kedai dan telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.
“Suspek dengan pantas menarik rantai leher milik pengadu sekali gus menyebabkan teman lelakinya bertindak mengejar suspek.
“Teman lelaki pengadu berjaya membonceng di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan terhentak di kepala serta patah kaki kanan. Mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Polis Meminta Orang Awam Tidak Membuat Sebarang Spekulasi
Dalam pada itu, pihak polis juga menasihati agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak benar susulan video mengenai kejadian tular.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul 03-40482222,” ujarnya sambil meminta agar orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
Kredit: Majoriti Official