Pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu kelmarin disahkan mempunyai rekod rawatan psikiatri dan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak Januari tahun lalu.

Kemalangan Maut Jalan Kemajuan, Pemandu Honda Jazz Ada Rekod Psikiatri

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Azli Mohd Noor, berkata semakan mendapati suspek pernah beberapa kali mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan perkara tersebut telah disahkan melalui rekod perubatan. Kemalangan yang berlaku sekitar jam 1.35 petang itu melibatkan Honda Jazz dipandu suspek dan sebuah Perodua Vivayang dipandu Syakirah Hanan Mazli, yang maut di lokasi kejadian.

Menurut Azli, pemandu Honda Jazz mengalami patah tangan kanan serta luka ringan di beberapa bahagian badan dan kini masih menerima rawatan di HSNZ. Beliau turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya suspek telah meninggal dunia, sambil menegaskan bahawa suspek masih hidup dan berada dalam jagaan pihak hospital.

Dalam perkembangan sama, polis turut menolak dakwaan bahawa kenderaan Honda Jazz yang dipandu suspek merupakan kereta curi. Hasil semakan melalui rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan berkenaan adalah milik adik suspek sendiri.

Siasatan awal turut mendapati bahawa sebelum kemalangan berlaku, suspek dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan Honda City yang diparkir di kawasan Stadium Darul Iman, sebelum mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200. Suspek kemudiannya kembali ke Honda Jazz dan memandu keluar ke jalan raya sebelum terlibat dalam kemalangan, seperti yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang kini tular.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan, khususnya di media sosial. Menurut Azli, langkah tersebut penting bagi menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa, selain memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.

Suspek akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, mangsa Syakirah Hanan Mazli, yang merupakan penuntut Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), meninggal dunia selepas kenderaan Perodua Viva yang dipandunya dirempuh Honda Jazz dalam kejadian tersebut.

Kredit: Facebook Polis Daerah Terengganu

 

 

[fbcomments]