Seorang lelaki bernama Muhammad Sufian Abdul Aziz, 36, kini berusaha mengumpul dana untuk mendapatkan implan tempurung kepala bernilai RM15,000 dengan menjual daging salai secara dalam talian.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/v/1A5f4oJ1iA/?mibextid=wwXIfr

Demi Implan Tempurung Kepala Bernilai RM15,000, Lelaki Gigih Jual Daging Salai Untuk Biaya Pembedahan

Beliau sebelum ini mengalami kecederaan serius akibat kemalangan di Jitra, Kedah, dua tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan kuman terus merebak.

Meskipun diuji dengan cabaran kesihatan dan kehilangan rumah tangga, Muhammad Sufian tidak mudah berputus asa. Beliau kini bekerja sebagai petugas fisioterapi di sebuah hospital kerajaan di Alor Setar, Kedah, selain menjalankan perniagaan daging salai bagi menampung kos rawatannya.

Menurutnya, walaupun masih bekerja, gajinya telah dipotong kerana sudah setahun berada dalam cuti sakit. Tambahan pula, usaha mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak berjaya memandangkan beliau masih mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya terpaksa bekerja separuh gaji dan pada masa sama menjual daging salai untuk mengumpul dana bagi membeli implan. Setakat ini, saya hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM200,” katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat menyokong perniagaannya agar dapat menjalani rawatan yang diperlukan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.

Muhammad Sufian turut memaklumkan bahawa beliau sendiri memasak dan menjual daging salai dari rumah serta mempromosikannya menerusi akaun TikTok @muhammadsufi488.

Kredit: Majoriti Official, Facebook Muhammad Sufi

[fbcomments]