Tiga gadis telah meninggal dunia akibat keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, Seberang Jaya.

3 maut, 1 kritikal

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia pada jam 4.23 petang ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Terdahulu, dua rakannya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketika ini, seorang lagi rakan mereka yang juga kembar kepada Nor Adilah, yang kritikal masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Bapa temui sendiri anak di dalam kereta

Mereka dipercayai telah pergi ke Pulau Jerejak dan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing sebelum kejadian tersebut berlaku.

Walau bagaimanapun, menurut bapa kepada Ayuni Shazwanie, dia telah keluar mencari anaknya sendiri kerana bimbang anaknya dan rakan-rakan masih tidak pulang ke rumah ketika jam sudah menunjukkan 11 malam.

Ketika tiba di stesen minyak berkenaan, Shabri mendapati enjin kereta dinaiki empat sahabat itu masih hidup dan kesemua mereka sudah tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi petugas perubatan.

Jangan tidur dalam kereta dengan aircond berfungsi!

Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata kematian boleh berlaku apabila penumpang menghidu gas karbon monoksida yang melebihi tahap selamat dalam ruang sesebuah kenderaan.

Beliau yang juga Profesor Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) turut memberitahu kehadiran gas karbon monoksida sukar dikesan kerana sifatnya yang tidak menghasilkan bau atau warna serta boleh menyebabkan mangsa pengsan jika terhidu dalam kuantiti yang banyak.

Ketidaksempurnaan itu biasanya berlaku kepada kenderaan lama, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh berlaku kepada kenderaan baharu. Ia bergantung sepenuhnya kepada penggunaan dan penyelenggaraan sesebuah kenderaan.

Bagaimanapun, pencemaran akan berlaku lebih teruk jika kenderaan tidak sempurna ini dalam keadaan statik kerana pengudaraan tidak berlaku dengan baik. Gas ini boleh masuk ke dalam kenderaan melalui mana-mana kebocoran pada sistem ekzos.

Apa-apa bahagian di bawah (lantai) kenderaan yang tidak dicat dengan baik dan mereput turut menyumbang kepada kejadian seperti ini.


[fbcomments]