Dua lelaki bersaudara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bachok pada Rabu semalam atas pertuduhan menganiaya seekor beruk jantan dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dua Lelaki Bersepupu Mengaku Tidak Bersalah Aniaya Beruk Jantan di Bachok

Tertuduh, Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan sepupunya, Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli. Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Amirul didakwa menampar, memukul dan menakut-nakutkan haiwan itu di sebuah rumah kosong di Kampung Jembal, Jalan Tawang, pada 1 November lalu, manakala sepupunya dituduh bersubahat dalam perbuatan berkenaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid, yang menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh. Peguam mereka, Muhammad Habil Zainal Abidin, memohon pengurangan jumlah itu dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama dan mereka mempunyai kekangan kewangan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, serta menetapkan 24 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Kes berkenaan tular selepas rakaman hampir dua minit memaparkan seekor beruk dipukul dan diseret tanpa belas kasihan tersebar di media sosial. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]