Seorang bapa menunaikan hasrat anak ketujuhnya, Allahyarham Amirrulmukminin Mohd. Zain, 27, untuk mendermakan organ selepas pemuda itu disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Anak Disahkan Mati Otak, Bapa Tunaikan Hasrat Anak Derma Organ Selepas Maut Kemalangan

Amirrulmukminin terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kemaman, Terengganu, pada kira-kira jam 7 pagi, 25 Disember lalu, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu selepas lapan hari bertarung nyawa.

Bapanya, Mohd. Zain Daud, 64, berkata hasrat murni arwah telah ditunaikan dan beliau berharap pendermaan organ tersebut menjadi amal jariah serta saham akhirat buat anaknya. Menurut Mohd. Zain, arwah dirawat di Hospital Kemaman sebelum doktor mengesahkan keadaan mati otak selepas beberapa hari menerima rawatan.

“Selepas pengesahan itu, arwah menjalani pembedahan pendermaan organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pada Sabtu lalu. Hanya mata, tulang dan buah pinggangdidapati sesuai untuk didermakan,” katanya ketika ditemui di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, semalam.

Mohd. Zain yang merupakan pesara polis berkata, beliau dan seluruh ahli keluarga menerima pemergian arwah dengan reda serta sebulat suara bersetuju untuk melaksanakan hasrat tersebut. Menurutnya, niat Allahyarham hanya diketahui selepas kad ikrar penderma organ ditemui di dalam dompet arwah oleh salah seorang kakaknya.

“Kami membuat pemeriksaan dan mendapati arwah memang mempunyai kad ikrar penderma organ. Arwah pernah menyuarakan hasrat itu ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, namun ketika itu kami menyangka ia sekadar gurauan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak HSNZ memaklumkan bahawa buah pinggang Allahyarham telah mempunyai penerima, dan penerima tersebut akan menjalani pembedahan pemindahan dalam masa terdekat.

Sementara itu, kakak arwah, Annurfatinah, 31, berkata keluarganya berasa terharu dengan penghormatan terakhir yang diberikan oleh kakitangan HSNZ kepada Allahyarham, berdasarkan satu video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan warga hospital berbaris panjang memberi penghormatan kepada jenazah arwah selepas proses pendermaan organ telah tular di media sosial.

Kredit: Kosmo!

 

 

 

[fbcomments]