fbpx

Pegawai perubatan yang merawat seorang pemuda yang ditemui terbaring di tepi jalan dan disyaki dijangkiti virus Covid-19 terkejut selepas mendapati lelaki itu sebenarnya baru putus cinta.

Dalam kejadian di Magetan, Jawa Timur, Indonesia itu, penduduk gempar apabila melihat seorang lelaki menunggang motosikal berhenti di tepi jalan sebelum tiba-tiba terjatuh dan terbaring.

Penduduk yang panik tidak berani menghampiri atau membantu kerana bimbang lelaki itu dijangkiti Covid-19 dan terus menghubungi hospital.

Beberap minit kemudian, sebuah ambulans tiba dan dua petugas yang lengkap memakai pakai perlindungan peribadi (PPE) keluar serta terus menghampiri lelaki itu. Ketika dihampiri lelaki itu tiba-tiba bangun dan menangis menyebabkan pegawai perubatan berkenaan bertambah terkejut.

Selepas disoal-siasat lelaki itu akhirnya mengaku dia terbaring di tepi jalan akibat terlalu kecewa kerana baru ditinggalkan kekasihnya.

“Hubungan kami baik-baik sahaja dan saling menyayangi tetapi tiba-tiba sahaja dia mintak putus,” kata lelaki itu sambil menangis teresak-esak.

Melihat keadaan lelaki itu, petugas kesihatan berkenaan memujuknya dan memberi kata-kata nasihat supaya dia tidak putus asa. Selepas beberapa minit, lelaki itu akhirnya dapat menenangkan dirinya dan berhenti menangis.

Lelaki itu kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan berkenaan sebelum beredar dengan menunggang motosikalnya.

[fbcomments]