Setiap hubungan ada pasang surutnya. Begitu juga hubungan penyanyi terkenal Shila Amzah dan pempengaruh Ubai Mz. Namun, sebagai individu terkenal, ramai yang memerhati setiap tindak-tanduk pasangan ini.
Hubungan Shila dan Ubai disangka telah putus ditengah jalan apabila Shila memuat naik gambar disertakan kapsyen berterima kasih kepada kekasihnya itu.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah akhirnya meleraikan spekulasi tersebut menerusi siaran langsung di Instagram.
Hubungan masih baik
Menurut pelantun lagu Patah Seribu itu, dia dan kekasihnya dalam keadaan baik namun mengakui keadaan dirinya tidak berapa stabil dan sedikit terganggu bukan kerana Ubai.
“Kesimpulannya kami okey, cuma saya sahaja yang tidak berada dalam keadaan baik.”
“Kalau kami putus, kenapa saya memuat naik gambar bersama dia (Ubai). Kesian dekat dia tapi saya tak maksudkan macam tu pun.
“Cuma saya ingin jelaskan bahawa keadaan saya tidak baik bukan disebabkan Ubai. Ada masa memang saya tidak okey dan ingin menjadi diri sendiri 100 peratus,” jelasnya.
Ramai yang tidak sensitif
Shila memaklumkan hantarannya itu adalah untuk menghargai Ubai. Namun, perkara itu telah disalah erti oleh ramai pihak. Shila juga mengaku setiap orang ada jatuh dan bangun tersendiri.
“Saya bukan mahu mengundang negatif cuma perkara ini bergantung kepada cara pemikiran seseorang.
“Kalau otak negatif maka perkara positif pun akan dilihat ke arah keburukan. At the end of the day, kami hanya manusia biasa juga,” tambahnya lagi.
Shila juga ada berjumpa dengan ibu pasangannya itu. Shila menjelaskan ibu Ubai tidak terasa hati malah memandang perkara tersebut dari sudut positif. Shila nyata bersyukur kerana tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada wanita tersebut kerana dia percaya dengan mereka.