Dua rakyat Malaysia cedera selepas sebuah letupan dipercayai berpunca daripada alat letupan buatan sendiri (IED) berlaku di bawah pembetung di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai, Narathiwat, Thailand pada Isnin.

2 Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Di Narathiwat

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.45 pagi waktu Thailand itu berlaku di Kampung Phrai Wan, kira-kira 100 meter dari persimpangan tiga Sapom di Lebuhraya Narathiwat-Tak Bai.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, berasal dari Sabah. Ketika kejadian, kedua-duanya dipercayai berada di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 sebelum alat letupan yang dipasang di bawah pembetung jalan meletup secara tiba-tiba.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, Abdullah mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bom pada bahagian dahi, selain cedera parah pada kaki kiri serta mengalami kecederaan di kepala.

Muhammad Yusri pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. Menurut beliau, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sedar ketika diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, operasi keselamatan segera dijalankan dengan penglibatan tiga agensi yang mengepung kawasan letupan serta menutup laluan sepanjang kira-kira satu kilometer bermula dari persimpangan Sapom sehingga kawasan pusingan U berhampiran sebuah kuari pasir.

Pasukan Unit Pemusnah Bom (EOD) bersama pegawai forensik turut dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bukti bagi membantu siasatan. Kenderaan berdaftar Malaysia yang dinaiki kedua-dua mangsa juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat impak letupan tersebut.

Mejar Jeneral Prayong berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pihak berkuasa masih mengumpulkan semua maklumat berkaitan insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian yang membabitkan dua rakyat Malaysia tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand sehingga keadaan keselamatan di kawasan berkenaan kembali terkawal.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]