Seorang nelayan berusia 27 tahun maut selepas bot yang dinaikinya bersama lima lagi rakan terbalik akibat dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan pulang ke Tanjung Dawai, Kedah pada Isnin.

Nelayan Maut Bot Terbalik Dipukul Ombak Berhampiran Pulau Sayak

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amin Izham dari Kampung Masjid, Tanjung Dawai. Dalam kejadian itu, beliau dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan berhampiran Pulau Sayak.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Menurut siasatan awal, Muhammad Amin bersama lima lagi nelayan sedang dalam perjalanan pulang dari kawasan perairan Batu Maung, Pulau Pinang selepas selesai menjalankan aktiviti memukat ikan.

Sebaik bot mereka terbalik, kesemua mangsa terjatuh ke laut sebelum dibantu sebuah bot nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Bagaimanapun, Muhammad Amin disahkan meninggal dunia sejurus berjaya dinaikkan ke atas bot penyelamat, manakala lima rakannya terselamat.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forubatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani bagi menjalankan prosedur lanjut. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik ini keluar seawal jam 6 pagi untuk mencari rezeki bersama rakan-rakannya sebelum perjalanan pulang mereka bertukar tragedi apabila bot dinaiki dipukul ombak besar sehingga terbalik.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]