Pelakon dan usahawan jelita, Nur Fazura memaklumkan dia dan suami merancang untuk memiliki zuriat kedua pada tahun ini.
Menurutnya jika diberi rezeki sudah tentu dia mahukan anak lelaki sebagai pelengkap rumah tangga mereka.
Namun, Fazura dan Fattah tetap akan bersyukur jika dikurniakan cahaya mata perempuan asalkan bayi tersebut sihat.
“Kami merancang untuk miliki zuriat kedua pada tahun ini memandangkan Fatimah akan mencecah usia 3 tahun tidak lama lagi. Dan, kalau ada rezeki kami mahu cahaya mata lelaki tapi, kalau dapat cahaya mata perempuan pun kami terima yang penting bayi yang dilahirkan sihat,” katanya.

Dalam temu bualnya di acara Nona Superwoman Awards 2022 baru-baru ini, Fazura ada bercerita lanjut tentang perancangannya dalam dunia seni tahun ini.
“Saya sibuk dengan perniagaan sekarang. Saya juga ada album yang tidak siap lagi dan prosesnya sedikit tergendala sekarang”
“Saya merancang untuk perlahan-lahan kembali pada tahun ini. Ada projek-projek terbaru, ada filem terbaru yang inshAllah akan mulakan penggambaran pada Februari.”
“Saya juga bercadang untuk terlibat dalam satu drama bersiri cuma penggambarannya tidak bolehlah terlalu lama sebab ada anak sekarang. Kesemuanya masih dalam fasa perancangan,”tambah pelakon Pisau Cukur itu.
Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, turut bersyukur kerana Allah mempermudahkan segala urusannya termasuklah dalam menguruskan kerjaya, bisnes dan rumah tangga.
“Saya sangat bersyukur kerana Allah permudahkan segalanya. Memang kami sibuk tetapi perlu cari masa untuk meluangkan masa berkualiti di rumah.
“Saya juga perlu bijak mengatur masa untuk menguruskan Fatima, suami, bisnes dan kerjaya seni. Alhamdulillah,” ujarnya.
Fazura berebut masa
“Bila masuk saja tahun baru, memang kita rasa lama. Tapi sebenarnya kejap saja.Jadi sekarang saya tengah berebut masa. Dan kami merancang untuk mendapat anak kedua. Nak buka kilang lagi, nak bisnes lagi. Saya hanya boleh berdoa agar semua perancangan dipermudahkan olehNya.”
Fazura telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fattah Amin pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.
Sumber: Remaja