Seorang pelajar sebuah universiti tempatan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan susulan penularan gambar seorang lelaki memijak naskhah al-Quran yang mencetuskan kemarahan ramai di media sosial semalam.
![]()
Gambar Pijak Al-Quran Tular, Penuntut Universiti Direman 4 Hari
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah memaklumkan, suspek ditahan pada awal pagi selepas bapanya sendiri tampil membuat laporan polis. Menurut beliau, pengadu hadir ke balai bersama anaknya dengan hasrat memohon maaf kepada umat Islam susulan perbuatan tersebut.
“Tindakan itu dibuat kerana bimbang terhadap keselamatan anaknya selepas memuat naik hantaran yang menghina Islam di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak kelmarin, gambar memaparkan suspek memijak al-Quran serta tangkap layar komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW tersebar luas di pelbagai platform media sosial.
![]()
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina agama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Ashari turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
![]()
Kredit: Harian Metro, Threads ryvikselva