Dikala keluarga lain menyambut Aidilfitri dengan penuh makna dan gembira, namun tidak bagi keluarga ini. Keluarga ini terpaksa hidup di dalam khemah selepas rumah pusaka miliknya terbakar seminggu sebelum menjelang Aidilfitri.

Empat Bulan Tinggal Di Khemah
“Sampai bila kami sekeluarga nak tidur bawah khemah? Kami tiada pilihan juga, terpaksalah saya jumpa TMJ (Tunku Mahkota Johor) mengadu nasib kami”, kata Mohd Kamal Rosdi kepada media Harian Metro semasa ditemu ramah.
Difahamkan, beliau dan lapan ahli keluarganya terpaksa berteduh di bawah khemah sejak empat bulan yang lalu akibat rumah mereka di Parit Mislam terlibat dalam kejadian kebakaran pada 15 April yang lepas. Beliau mengatakan terdapat beberapa pihak NGO yang datang melihat keadaan beliau serta rumahnya yang telah hangus itu, dimana turut menjanjikan untuk membantu membina rumah baharu. Namun, ia hanyalah sekadar janji-janji manis kerana kelibat mereka tidak lagi muncul sehingga ke hari ini.
Tapak Khemah Mereka Juga Jadi Laluan Binatang Buas
Menurut sumber Harian Metro lagi, Kamal amat bimbang dengan keselamatan keluarganya kerana tapak khemah yang mereka duduki sekarang juga menjadi laluan binatang buas.
“Bayangkan kami tidur dalam khemah dengan dinding tak ada, hanya di kelilingi kain langsir dan kanvas sebagai penghadang. Bagaimana kami boleh lena dalam keadaan ini. Minggu lalu, jam 4.30 pagi, kami anak-beranak terjaga dalam khemah hampir terangkat akibat ribut yang turut diselangi dengan hujan lebat, kami hanya berpaut pada tiang khemah. Kami bukan meminta simpati tetapi hanya sekadar menuntut janji serta mahukan pihak berkaitan buka mata. Saya mohon prihatin, bukan untuk saya tetapi untuk kedua ibu bapa dan anak-anak saya”, luahnya lagi.
Mahu Jumpa TMJ Untuk Adu Nasib
“Andainya masalah ini tidak mampu diselesaikan, saya terpaksa memohon untuk berjumpa TMJ bagi mengadu nasib kami”, kata Kamal. Difahamkan lagi, ada sesetengah pihak yang menyarankan mereka untuk menyewa di inap desa luar kawasan, namun beliau terpaksa menolak kerana terlalu jauh dari sekolah anak serta tempat kerjanya.
Berbalik kepada tragedi kebakaran terhadap keluarganya terdahulu, ia berlaku pada jam 11.15 pagi seminggu sebelum Aidilfitri telah menyebabkan rumah pusaka milik ibu bapa beliau hangus dijilat api. Ia dipercayai berpunca daripada litar pintas. Kebakaran turut memusnahkan sebuah bengkel, kereta dan motosikal. Selepas kejadian, mereka sekeluarga membina khemah hasil bantuan penduduk kampung untuk dijadikan tempat berteduh sementara di hadapan tapak rumah asal.
Kredit: Harian Metro