Ada desas-desus yang mengatakan pengacara jelita Hawa Rizwana menjalin hubungan akrab dengan pelawak dan pelakon Zizan Razak.
Namun Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27 menerangkan hubungan mereka tidak lebih dari sekadar kawan selain menyifatkan personaliti itu sebagai seorang abang.
“Saya dan Zizan sudah lama berkawan, dari saya baru masuk industri lagi. Namun, saya tak nafikan, sememangnya Zizan kuat mengusik, suka mengacau dan berkongsi gambar kami.”
“Tapi kami tiada apa pun, saya pun anggap dia macam abang. Dia pun kiranya ialah senior saya dalam industri. Saya juga pernah menemubual dia beberapa kali sebelum ini.”
Berlakon sebagai suami isteri
Malah, Hawa menganggap gosip tersebut berlaku memandangkan telefilem bergenre romantik komedi yang dilakonkan bersama Zizan.
“Mungkin ramai buat telahan susulan sama-sama terbabit dalam telefilem Hari Raya Aidilfitri arahan Micheal Ang,”tambahnya
Menerusi naskhah terbabit, mereka membawa watak sebagai suami isteri.

“Cerita romantik komedi itu pun sangat menarik dan saya gembira dapat bekerja dengan Zizan.”
“Jadi ini dikira lakonan pertama saya kerana sebelum ini saya tak pernah berlakon pun. Sebelum ini saya hanya bertugas sebagai pembaca berita dan pengacara sahaja.”
Hawa menambah, dia tidak kisah akan usikan nitizen cuma komitmennya kini hanya pada kerjaya.
“Bagi saya usikan itu biasa sebab mungkin apabila melihat kami berdua, orang mengusik. Saya pun hanya anggap dia macam abang saya. Jadi saya tiada apa pun dengan usikan itu.”
“Keluarga saya pun tahu saya macam mana, jadi mereka tiada cakap apa-apa.”
Perkahwinan bukan keutamaan

Menurut Hawa dia lebih fokus akan kerjaya dalam bidang lakonan yang masih baru baginya berbanding ingin berumah tangga.
“Lagipun sekarang ini berkahwin bukan keutamaan saya, memandangkan saya banyak buat benda baharu sekarang ini.”
“Jadi saya lebih fokus untuk memperbaiki diri supaya menjadi pelakon dan pengaca yang lebih baik,”katanya lagi.
Sumber: Media Hiburan