Syarikat pengeluar produk tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad memaklumkan bahawa Pengarah Ladangnya, Jacob Mathan, terkorban dalam satu nahas helikopter yang berlaku pada jam 7.20 pagi Selasa di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina.
![]()
Pengarah Ladang Farm Fresh Maut Dalam Nahas Helikopter di Filipina
Helikopter jenis Bell 505 yang dinaiki dilaporkan berdepan masalah enjin ketika dalam penerbangan menuju ke sebuah tapak ladang sebelum juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di kawasan tanah lapang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee, dalam kenyataan memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif operasi syarikat di Filipina, Shawn, turut berada dalam helikopter berkenaan dan mengalami kecederaan, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Beliau turut memohon orang ramai mendoakan kekuatan buat isteri mangsa, Amy, serta seluruh ahli keluarganya dalam menghadapi detik sukar ini.
![]()
Menurut Tuan Ee, Jacob menyertai Farm Fresh 13 tahun lalu sebagai pelatih universiti sebelum membina kerjaya sehingga dilantik sebagai Pengarah Ladang.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau disifatkan sebagai seorang yang berdedikasi, berintegriti dan profesional, selain mempunyai peribadi yang mesra, beradab serta disenangi warga kerja. Pihak syarikat menyatakan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar memandangkan sumbangannya yang signifikan dalam pembangunan operasi ladang tenusu, termasuk menjalin kerjasama erat dengan kontraktor, pembekal dan agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Kredit: Harian Metro