Pelawak Shuib mendedahkan dia bakal menamatkan zaman dudanya bersama pilihan hati, Watie Hanifiah pada Jun depan.
Meskipun segan berkongsi persiapan yang telah dibuat, Shuib memaklumkan bakal mengadakan majlis pernikahannya tidak lama lagi.
“30 peratus persiapan kahwin dan siap, insya-ALLAH saya dan Watie akan bernikah pada bulan Jun tahun ini.
“Dewan dah tempah, saya sebenarnya rasa malu nak cerita pasal ini. Nak kongsi dengan kawan pun saya rasa malu. Insya-ALLAH majlis pernikahan dan bersanding akan diadakan serentak Jun nanti,” ujarnya.
Shuib juga menerangkan enggan membuat majlis perkahwinan terlalu besar namun tidak juga terlalu ringkas. Lebih-lebih lagi apabila ianya merupakan perkahwinan pertama buat bakal isterinya.
“Saya tak mahu bernikah dengan terlalu ‘grand’, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama dia, jadi sudah tentu keluarga belah sana mahu meraikan kami. Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” katanya lagi.
Allahyarhamah Siti Sarah tiada galang ganti
Shuib mengaku dia perlukan sistem sokongan yang baik. Meskipun begitu, Shuib juga menegaskan Allahyarhamah Siti Sarah tidak boleh diganti.
“Kita tahu kebolehan dan kemampuan kita, jadi bila ada orang sudi sama-sama dengan kita, ia satu pemberian Allah. Saya tak tahu masa hadapan macam mana, tapi sudah tentu saya mahukan yang baik-baik di masa akan datang. Jadi saya berharap semuanya dipermudahkan Allah. Saya perlukan sistem sokongan yang baik kerana saya tak tahu bagaimana untuk berseorangan dan bersendirian.
“Sejak dulu saya suka meriah, gembira, ramai-ramai, saya suka jemput orang datang rumah, jadi apabila saya sendiri, saya rasa itu bukan saya. Saya seorang yang bekeluarga, saya suka keluarga, lagi besar keluarga itu, lagi saya gembira. Bila ada peluang macam ini, bila Allah sudah hadirkan orang yang sudi duduk dengan saya, jaga anak-anak saya, jaga saya juga, saya kena hargai, Insya-Allah.
“Arwah Sarah tidak boleh diganti. Itu sudah pasti. Tapi pada pandangan saya, ada 20 peratus sisi dia yang sama seperti arwah. Saya nampak dia boleh jadi ibu yang baik, Insya-Allah. Saya nampak usaha yang dia berikan untuk ibu saya, untuk mertua saya, untuk anak-anak saya,” katanya.
Sekadar info, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.
Sumber: Xtra