Alhamdulillah masih ada pihak yang prihatin terhadap kerja keras dilakukan ‘frontliners’ semua kakitangan hospital yang sedang berjuang untuk melawan Covid-19 ini.
Pelarian beri bantuan makanan
Satu kumpulan pelarian telah melakukan inisiatif untuk memasak sebelum menyumbang kepada petugas perubatan di Hospital Ampang yang kadangkala tiada masa untuk mengisi perut kelaparan.
Pelarian tersebut terdiri dari Syria, Palestin, Yemen dan Iraq. Tindakan murni itu dilakukan sebagai tanda berterima kasih kepada pasukan barisan hadapan Malaysia.
Bermula 23 hingga 31 Mac 2020
Makanan untuk 20 orang akan dihantar ke hospital dari 23 Mac hingga 31 Mac ini yang akan dimasak oleh tukang masak berbeza sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Wanita Palestin, Eman Mfleh telah tinggal di Malaysia bersama suami, anak dan cucu selama lima tahun serta anak lelakinya telah meninggal dalam peperangan di Syria.
“Ini merupakan peluang saya untuk membalas budi pada Malaysia yang telah menyambut kedatangan kami dengan tangan terbuka. Kami sayang rakyat dan juga negara ini.
Doktor, jururawat dan yang lain di hospital bekerja keras untuk memastikan kita selamat. Hanya ini sahaja yang mampu kami lakukan untuk mereka,” ujar wanita berusia 62 tahun itu.
Pengasas Beyond Borders, Mahi Ramakrishnan mengatakan bahawa pelarian itu menggunakan duit simpanan mereka sendiri untuk menyediakan makanan tersebut.
“Ia salah satu cara untuk mereka menyumbang kepada negara dan masyarakat. Mereka juga ingin menunjukkan penghargaan kepada kakitangan perubatan yang menggadaikan nyawa mereka untuk kita,” kata Mahi.