Seorang wanita yang juga merupakan seorang ibu dilaporkan buta kedua-dua belah matanya akibat dibelasah dengan teruk oleh suaminya sendiri selepas berlaku pertengkaran di antara mereka.
Suami Pemarah Dan Kuat Cemburu
Menurut laporan Kompas.com, kejadian tersebut dikatakan berlaku di rumah pasangan terbabit yang terletak di Bangka Barat, Indonesia pada 26 November yang lalu. Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Nurlela bertengkar dengan suaminya iaitu Supri, sebelum suaminya bertindak memukulnya dengan kejam.
Akibat dikasari teruk, mangsa telah hilang penglihatan dan tidak dapat meminta pertolongan dari sesiapa kerana mulut serta tangannya turut dicederakan. Berdasarkan kenyataan dari adik iparnya, Supri disifatkan sebagai seorang yang sensitif, pemarah, kuat cemburu malah pernah mengugut untuk membunuh isterinya. Insiden tersebut juga disedari oleh anak mangsa berusia 13 tahun yang bertindak meminta pertolongan daripada penduduk setempat.
Mangsa Tidak Dapat Menyusukan Bayi Yang Berusia 8 Bulan
Sementara itu, polis telah mengesahkan pihak mereka menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kes keganasan rumah tangga tersebut. “Mangsa mengalami kecederaan di muka iaitu di mata yang luka dipercayai terkena objek tajam, bibir terkoyak, gigi dan tangan mangsa juga patah. Kecederaan tersebut didakwa akibat dipukul suami mangsa dan bahagian kepalanya juga bocor”, jelas polis.
Mangsa kini sedang menjalani rawatan insentif di Hospital Bhakti Timah, Bandaraya Pangkapinang dan disebabkan itu, mangsa juga tidak dapat menyusukan bayinya yang berusia lapan bulan.
Susulan kes ini, keluarga mangsa berharap agar pihak polis dapat memberkas suspek dengan segera walaupun motif tindakannya masih belum diketahui.
Kredit: Kompas.com