Seorang wanita dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam suaminya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Paku, Gual Periok, Tanah Merah pada Isnin.

Isteri Maut Ditikam, Suspek Sempat Ambil Anak Sebelum Serah Diri

Mangsa, Mastura Abdullah, 40, dikatakan baru pulang ke kampung kira-kira sejam sebelum kejadian setelah tiba dari Selayang menggunakan lori sepupunya sebelum dijemput adik bongsu mereka di Machang.

Berdasarkan sumber, insiden berlaku sekitar jam 10 pagi di ruang dapur rumah apabila suspek, berusia 63 tahun, telah menikam mangsa berulang kali di bahagian depan dan belakang badan sebelum meninggalkan lokasi.

Menurut adik mangsa, Mohd Jony, keluarga hanya mengetahui tragedi itu seterusnya selepas suspek menghadirkan diri di Balai Polis Gual Ipoh pada tengah hari. Malah sebelum menyerah diri, lelaki itu sempat mengambil anak lelakinya dari sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah.

Anak mangsa, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dipercayai individu pertama menemui mayat ibunya namun tidak dapat bertindak apa-apa. Mangsa bekerja sebagai tukang masak di Selayang lebih setahun dan pulang bercuti setiap bulan, manakala suspek difahamkan tidak bekerja serta kurang bergaul dengan penduduk kampung.

Jenazah Mastura kini menjalani proses bedah siasat di Hospital Tanah Merah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku. Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]