Kementerian Pertahanan Malaysia mengambil maklum dan memandang serius penularan dakwaan berhubung kewujudan aktiviti tidak bermoral serta kemasukan individu tertentu yang dikaitkan dengan sebuah kem ketenteraan di negara ini, seperti yang didedahkan menerusi media sosial baru-baru ini.

 

Kementerian Pertahanan Arah Siasatan Dalaman ATM Susulan Dakwaan Aktiviti Tidak Bermoral

Isu berkenaan telah mencetuskan perhatian orang ramai susulan pendedahan yang menggambarkan sisi gelap dan tingkah laku segelintir individu di dalam kem tersebut.

Susulan perkara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya menjalankan siasatan dalaman dengan segera bagi meneliti kesahihan dakwaan yang dikemukakan secara menyeluruh.

Menurut kementerian, dakwaan yang tular itu tidak menggambarkan budaya sebenar ATM yang berteraskan disiplin tinggi, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.

Kementerian turut menegaskan bahawa sekiranya siasatan mendapati dakwaan berkenaan mempunyai asas, tindakan tegas tanpa sebarang kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat, selaras dengan peraturan, tatacara dan undang-undang sedia ada. Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Pertahanan bersama ATM kekal komited dalam memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan sentiasa berada pada kedudukan tertinggi, serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh mencalar imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.

Kredit: Instagram KPM, capricedaddycap

 

[fbcomments]